Kepelbagaian aktiviti yang diusahakan oleh Koperasi Masjid Al-Hasanah Bangi Berhad membuktikan kemampuan koperasi itu dalam memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk mengembang dan melebarkan sayap perniagaan sekali gus meletakannya sebagai antara contoh terbaik dalam kalangan koperasi masjid di Malaysia.
Dari menjalankan perniagaan kedai runcit Coop Mart ‘Souq Al-Hasanah’ hingga menceburi bidang hartanah, koperasi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada anggotanya, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi tujuh aktiviti terasnya.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Koperasi Masjid Al-Hasanah Bangi Berhad boleh menjadi model utama dalam memperlihatkan potensi koperasi masjid untuk berdaya saing dan memberi impak positif kepada masyarakat. Beliau turut memuji pendekatan koperasi yang bijak dalam memanfaatkan sumber yang ada untuk merancakkan ekonomi setempat, sambil menjaga kepentingan anggotanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke koperasi itu di Bandar Baru Bangi, Selangor pada hari ini (17 November 2024). Turut sama ialah barisan ahli lembaga Koperasi Masjid Al-Hasanah Bangi Berhad yang diketuai Pengerusinya, Kept. Haji Kamarudin Idris TLDM (B).
Hadir sama ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Pengurus Besar ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, En. Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Besar Yayasan Infaq ANGKASA merangkap Nazir Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.